Pastikan Minda Anda Sentiasa Sihat Sepanjang Covid-19
Kepada rakyat Malaysia,
Perintah Kawalan Pergerakan kini masuk minggu ketiga. Tempoh ini mungkin sukar untuk kita semua. Kami tahu dan faham situasi anda. Jasa dan pengorbanan anda sangat dihargai. Jangan bimbang jika anda rasa tertekan. Kami ada beberapa cadangan untuk menjaga kesihatan mental anda.
Ubah pemikiran anda
Jangan anggap situasi ini akan menjejaskan kehidupan anda. Sebaliknya, inilah peluang anda untuk mencuba pelbagai aktiviti yang anda ingin lakukan, tetapi tidak mempunyai masa. Gunakan waktu ini untuk belajar kemahiran baru, seperti membuat kek atau pengaturcaraan komputer (programming).
Hubungi orang tersayang
Walaupun terpaksa berjauhan, kita masih boleh berhubung dengan orang tersayang melalui panggilan telefon, mesej dan panggilan video.
Ketahui had anda
Memang benar, mengikuti perkembangan terkini penting. Namun, ini mampu menjejaskan kesihatan mental sekiranya anda terlalu taksub dengan semua berita berkenaan Covid-19.
Ketepikan telefon anda buat seketika, tumpukan perhatian.
Buat jadual harian baru
Tidur dan menonton televisyen sepanjang hari memang nampak menarik, tetapi jadual aktiviti harian yang lebih teratur mampu membantu anda memiliki kehidupan yang lebih berkualiti.
Panduan: Jangan lupa sertakan aktiviti kegemaran anda dalam jadual harian.
Prihatin terhadap mereka di sekeliling kita
Fikirkan apa yang anda boleh lakukan untuk membantu orang lain dan masyarakat setempat. Misalnya, menyediakan barangan keperluan untuk petugas barisan hadapan, membantu golongan yang memerlukan atau menyediakan makanan untuk ahli keluarga. Aktiviti sebegini mampu membuatkan hidup anda lebih bermakna, lantas meredakan kebimbangan anda.
Dapatkan bantuan profesional
Jika anda rasa sukar untuk menghadapi situasi masa kini, sila dapatkan bantuan daripada golongan profesional. Tiada siapa akan menilai tindakan anda. Talian bantuan COVID-19 disediakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat. Anda boleh menghubungi Talian Kasih di 15999 dan juga Whatsapp ke 019-2615999, Talian ini beroperasi 24 jam sehari, 7 hari seminggu.
Bersama-sama kita mampu harungi cabaran ini.
BERKHIDMAT UNTUK NEGARA
Gabungan Kesihatan Malaysia